LONDON: Sepakan penalti yang disempurnakan Frank Lampard pada
babak kedua perlawanan membolehkan Chelsea mencatat kemenangan
2-1 ketika bangkit menentang Manchester United sekali gus menjadikan
saingan merebut trofi Liga Perdana Inggeris semakin sengit. Lampard
menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-80 selepas Yuri Zhirkov
dikasari pemain United, Chris Smalling.
Hasil kemenangan itu membolehkan Chelsea mendaki ke tangga keempat
dalam saingan ketika ini, 12 mata mengekori pendahulu liga, United tetapi
mempunyai kelebihan satu perlawanan. Sasaran untuk meraih satu daripada
empat tempat untuk beraksi dalam Liga Juara-juara kini menjadi sasaran
utama Chelsea memandangkan hasrat merangkul gelaran tersasar kerana
United baru kalah dua kali musim ini. "Kami masih jauh ketinggalan
di belakang tapi apa yang penting kami perlu menang dalam perlawanan,
" kata Lampard. "
United memang berhak berada di puncak liga tapi kami masih ada melawan
dan dapat dibuktikan malam itu," katanya. United tampak tidak akan kalah
pada babak pertama, ketika pelawat menguasai permainan dengan kedua-dua
pasukan saling berbalas serangan. David Luiz mencetuskan kebangkitan juara
bertahan itu pada minit ke-54 apabila sepakannya menggegarkan gawang
United untuk gol pertama Chelsea bagi merapatkan kedudukan selepas
Wayne Rooney meletakkan pelawat di depan.
Kapten United, Nemanja Vidic pula dibuang padang pada saat akhir
perlawanan selepas dilayangkan kad kuning kedua akibat mengasari
Ramires, sekali gus menyebabkan pemain itu direhatkan apabila menentang
Liverpool Ahad ini.
Kemenangan kali ketiga di tangan Chelsea itu menyebabkan United kekal
dengan kelebihan empat mata di depan kelab di tangga kedua, Arsenal tetapi
bermain lebih satu perlawanan. - AP