KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada 40 wanita warga asing yang hanya berseluar dalam dan coli dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran waktu siang hari melarikan diri selepas sepasukan polis melakukan serbuan di medan selera sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini, awal pagi semalam.
Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap, (D7) Bukit Aman pada jam 11.45 pagi itu dilakukan selepas melakukan pemantauan sebaik menerima aduan mengenai kegiatan pelacuran yang dilakukan wanita terbabit.
Bagaimanapun, usaha wanita warga asing terbabit yang bertindak demikian bagi mengelak ditahan gagal apabila polis melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik. Ketua Operasi D7 Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam Jaafar, berkata polis berjaya menemui semua wanita terbabit terdiri daripada 34 warga China, lima wanita warga Myanmar dan seorang wanita Indonesia berumur antara 24 hingga 40 tahun ketika menyembunyikan diri di bilik hotel berkenaan.
“Polis turut menahan dua lelaki dipercayai pelanggan yang turut menyembunyikan diri bersama wanita terbabit. Polis juga menjumpai ratusan kondom dipercayai digunakan dalam aktiviti terbabit,” katanya di sini, semalam. Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, katanya modus operandi wanita terbabit ialah menjadikan lelaki warga emas dan asing yang mengunjungi medan selera sebagai sasaran mereka.
“Mereka yang menawarkan khidmat seks kepada pelanggan pada siang hari itu mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM150 kepada warga emas dan asing yang kerap mengunjungi lokasi berkenaan antara jam 9 pagi hingga 3 petang.
“Siasatan mendapati mereka yang menjalankan kegiatan pelacuran itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial secara berulang-kali,” katanya. Beliau berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 10 operasi dilakukan membabitkan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman, namun aktiviti tidak bermoral ini masih berterusan dengan pengusahanya mengubah taktik menjalankan kegiatan itu pada waktu siang.
Sehubungan itu, katanya polis akan terus melakukan pemantauan di lokasi sama bagi mengekang aktiviti tidak sihat ini. “Semua yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen,” katanya.
No comments:
Post a Comment