Kuala Lumpur : Seorang pelagak ngeri profesional melakukan empat kali
terjunan dalam perlbagai posisi dari tingat tiga bangunan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di sini, semalam,
bagi mendapatkan gambaran tepat kemungkinan punca kematian Penolong
Pengarah Kastam Cawangan Import Eksport Pelabuhan Utara, Klang,
Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56.
Pelakon itu memulakan aksinya dengan terjun dari tingkap bilik pantri di
tingkat tiga iaitu tempat terakhir mangsa berada pada hari kejadian.
Persiapan bagi melakukan aksi terjunan semula itu bermula kira-kira jam
10 pagi membabitkan seorang pelakon lagak ngeri yang ukuran badan serta
pakaiannya sama seperti dipakai Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed.
Selain itu, beberapa kru penggambaran termasuk jurukamera turut
ditempatkan bagi merakamkan aksi berkenaan.
Menurut sumber yang ditemui di lokasi, empat kamera digunakan termasuk
satu menggunakan jentera "Turn Table Ladder" (tangga cakera putar) milik
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPMKL) selain beberapa
monitor (skrin) bagi memudahkan pasukan penyiasat termasuk doktor dan
forensik menyaksikan terjunan itu.
"Aksi lakonan semula itu bertujuan mendapatkan gambaran kejadian sebenar
berdasarkan bukti kesan ditemui di lokasi pada hari kejadian.
"Pelakon lagak ngeri juga bersaiz tubuh sama dengan mangsa dan berpakaian
sepertinya ketika kejadian berlaku. Kos menggunakan khidmat kru
penggambaran serta palakon lagak ngeri profesional itu melebihi RM 15,000."
katanya.
Sumber itu berkata, pelakon berkenaan melakukan empat terjunan pelbagai
gaya pada paras ketinggian melebihi sembilan meter dan bagi tujuan keselamatan
beg udara berukuran 20x30 meter persegi digunakan.
Difahamkan, terjunan yang dilakonkan itu bagi memudahkan polis
mendapatkan gambaran sebenar pada hari kejadian sekali gus mengetahui
bagaimana cara jatuhan dan kesan kecederaan yang dihadapi mangsa selepas
terjatuh dari tingkat tiga.
Proses siasatan dan lakonan semula itu dihentikan kira-kira jam 2 petang
berikutan hujan lebat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk
Ku Chin Wah, yang turut menyaksikan proses siasatan itu berkata, ia
dijalankan dengan bantuan beberapa jabatan seperti JBPMKL, St. John
Ambulans serta turut disaksikan wakil SPRM dan KDRM. Bagaimanapun,
beliau enggan mengulas lanjut mengenai proses siasatan itu dan menasihatkan
semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi
ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan. Allahyarham Ahmad
Sarbani terbunuh selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM
ketika hadir bertemu seorang pegawai penyiasat bagi mengubah percakapan
yang dibuatnya dua hari sebelum hari kejadian iaitu 6 April lalu.
Laporan bedah siasat dilakukan terhadap arwah mendapati konsisten dengan
kecederaan seperti orang jatuh dari bangunan.
Sehingga kini, 40 saksi terdiri daripada pegawai SPRM, KDRM dan ahli
keluarga mangsa sudah dipanggil bagi membantu siasatan selain pemeriksaan
ke atas telefon bimbit milik mangsa.
No comments:
Post a Comment