MESKIPUN masih dihantui kecederaan, pemain badminton wanita negara, Wong Mew Choo rela berkorban dengan beraksi dalam kesakitan demi mengharumkan negara pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou ini.
Mew Choo masih dibelenggu kecederaan lutut yang dialaminya sejak sekian lama dan merancang untuk menjalani rawatan rapi selepas berakhirnya temasya yang bermula pada 12 hingga 27 November ini.
Justeru, pemain No. 20 dunia ini sanggup menahan kesakitan yang dirasai setiap kali turun ke gelanggang dan berazam mengerah segala kudratnya demi merealisasikan hajatnya untuk menyumbang sebutir pingat tanpa mengira warna dalam acara perseorangan wanita nanti.
"Masih ada rasa sedikit kesakitan (di lutut) setiap kali saya turun berlatih di gelanggang, tetapi saya tetap menahannya," kata Mew Choo ketika ditemui semasa latihan di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Tian He, Guangzhou semalam.
"Saya merancang untuk mendapatkan rawatan rapi hujung tahun ini iaitu selepas berakhirnya temasya Sukan Asia ini.
"Jadi, sebelum itu, saya berazam untuk terus menahan kesakitan ini sehingga Sukan Asia ini habis dan akan memerah segala kudrat yang ada bagi mencapai misi mengutip satu pingat tanpa kira warna," ujarnya lagi.
Biarpun bakal berdepan saingan getir daripada jaguh-jaguh dunia seperti Eriko Hirose dari Jepun dan Wang Yihan dari China, pemain berusia 27 tahun ini bagaimanapun tetap berazam untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod Sylvia Ng yang memenangi gangsa dalam acara perseorangan wanita pada Sukan Asia 1970 di Bangkok.
"Sebenarnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak tetapkan sebarang sasaran kepada saya, lagi pun pencapaian terbaik saya pada Sukan Asia ialah layak ke pusingan kedua saja.
"Begitupun, saya tetap mempunyai sasaran tersendiri. Meskipun tampak sukar tetapi saya yakin dengan diri sendiri dan akan mencuba sedaya upaya membuktikan kemampuan saya. Semuanya bergantung kepada persembahan saya pada hari tersebut nanti," kata Mew Choo.
Mengenai saingan dalam acara berpasukan, Mew Choo menjelaskan penyertaan skuad negara kali ini lebih kepada pendedahan untuk pemain muda yang kebanyakannya pertama kali beraksi dalam temasya Sukan Asia itu.
"Kali ini kita nak beri pengalaman pada pemain-pemain muda. Saya rasa ini satu pendedahan yang baik, bagi mereka lebih berani menentang lawan. Pemain muda kita pun ada potensi."
:::kredit t0 KOSMO :::
p/s ; berjuang demi negara.....
No comments:
Post a Comment