JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat
pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila
Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam
perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat
4-2, semalam.
Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan
95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan
bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan
Piala Suzuki.
Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad
lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh
Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia
yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.
Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring
terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi
pesaing terdekat, Cristian Gonzales.
Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan
pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan
pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan
baik oleh Safee Sali.
Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik
melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus
Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.
Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71
melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia
sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang
menang dengan kelebihan agregat 4-2.
Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian
menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia
memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti
pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.
Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad
dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan
semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan
bersejarah Malaysia.
Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut
media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi
semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.
Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan
oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan
membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.
Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat
buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.
Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak
A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.
Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia,
Firman Utina. – Utusan
______________________________________________________________
n0te : kredit to UTUSAN |
No comments:
Post a Comment