SKUAD bola sepak negara bergambar kumpulan di Balai Perlepasan KLIA
sebelum berangkat ke Jakarta bagi membawa cabaran negara dalam
kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF, semalam.
‘Selama ini saya tidak jangka akan dipanggil sertai
skuad kebangsaan'
SEJAK sekian lama diketepikan oleh K Rajagobal, pemain tengah, Mohd Amri
Yahyah sudah beranggapan bahawa kerjayanya sebagai pemain kebangsaan
sudah terkubur begitu saja.
Namun, panggilan mengejut Sabtu lalu mengubah segala-galanya apabila
kapten Selangor itu mendapati dirinya tersenarai dalam skuad akhir 22 pemain
ke Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) merebut Piala
Suzuki di Indonesia, bermula esok.
Pemain berusia 29 tahun kelahiran Tanjung Karang itu tidak berada dalam
senarai awal 30 pemain tetapi memanfaatkan kesempatan yang diberi ekoran
musibah kecederaan melanda beberapa tonggak yang menyaksikan mereka
diketepikan bagi Piala AFF dan Sukan Asia sebelum ini.
“Saya terkejut mendapat panggilan Sabtu lalu. Selama ini saya tidak jangka
akan mendapat panggilan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Kali terakhir saya bermain buat pasukan kebangsaan sebelum ini adalah
ketika menentang Uzbekistan,” katanya sebelum berlepas bersama rakan
ke Jakarta, semalam.
Perlawanan menentang Uzbekistan pada kelayakan Piala Asia 2011 pada
pertengahan November tahun lalu itu adalah penampilan terakhir Amri buat
pasukan kebangsaan, namun kelibat Amri kembali menjadi sebut-sebutan
selepas meledakkan dua gol cantik ketika gergasi Liga Perdana Inggeris,
Manchester United bertandang ke tanah air tiga bulan sebelum itu.
Kecederaan yang melanda pemain senior, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad
Fakri Saarani dan S Chanturu sewaktu kempen membanggakan Malaysia pada
Sukan Asia di Guangzhou di samping ketiadaan dua kembar Abd Radzak,
Zaquan Adha dan Aidil Zafuan serta pemain tengah inspirasi, Baddrol Bakhtiar,
menyaksikan tanggungjawab berat terletak pada Amri mengemudi barisan
gabungan pemain muda dan lama.
INFO
Skuad negara
Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Sharbinee Allawee
Pertahanan: Mahali Jasuli, Mat Sabre Abu, Mohd Faizal Muhamad,
Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Khairul
Helmi Johari, Asraruddin Putra Omar, Mohd Razman Roslan
Tengah: Amar Rohidan, K Gurusamy, Safiq Rahim, Mohd Khyrill
Muhymeen Zambri, Mohd Amirulhadi Zainal, S Kunanlan, Ashaari
Shamsuddin, Faizal Abu Bakar
Penyerang: Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safee Sali, Mohd Amri
Yahyah, Izzaq Faris Ramlan
JADUAL Kumpulan A
1 Disember - Malaysia mln Indonesia
4 Disember - Malaysia mln Thailand
7 Disember - Malaysia mln Laos
p/s : bangga jd RAKYAT MALAYSIA......hehehe......
No comments:
Post a Comment